Klik Kandungan!

> > > >

Wednesday

KALA JENGKING, KATAK, DAN ULAR (CERITA MENGUNDANG CAHAYA KEINSAFAN)


Di sini ingin saya kongsikan sebuah kisah yang saya baca daripada sebuah majalah.
Bagi saya kisah ini membuatkan hati saya tersentuh juga memberikan kesedaran buat diri ini.
Kisah yang berkaitan dengan keinsafan dan ia pasti akan muncul dalam kehidupan kita. Marilah sama-sama kita menghayatinya..~

Zun Nun Al-Misri pernah bercerita, suatu ketika sedang aku bersiar-siar di tepian sungai Nil, melihat-lihat sambil menikmati ketenangan dan
keindahan ciptaan Tuhan, tiba-tiba aku terserempak dengan seekor kala jengking yang amat besar sekali. Ia berlalu dengan cukup pantas.
Lantas aku pun mengambil sebiji batu untuk membunuhnya. Namun ia semakin laju melarikan dirinya daripadaku. Aku cuba untuk memintasnya
namun ia semakin pantas. Tiba-tiba, kala jengking itupun terjatuh ke dalam Sungai Nil dan aku kaget.

Aku terkedu. Secara spontan maka timbul pula seekor katak di atas permukaan air itu. Lantas kala jengking tersebut melompat ke belakangnya. Si katak berenang, segera menyeberangi Sungai Nil. Sampai di seberang, kala jengking melompat daripada atas katak itu lalu ke tepian dan menghilangkan diri.

Lama aku memerhatikannya. Merenung dan tanpa berlengah aku juga meniti jambatan menyeberangi sungai itu. Aku kemudian cuba mencari bekas-bekas jalannya dan menghampiri tempat kala jengking itu berlabuh. Aku cuba mengikutinya. Akhirnya aku tiba di sebuah pondok kecil. Lantas aku memberi salam. Senyap. Aku menjenguk ke dalam. Kelihatan seorang lelaki yang berada dalam keadaan yang mabuk.

Dia tidak sedarkan diri dan terbaring di hamparan. Kusut dan masai. Memualkan juga. Dan pada ketika itu, aku terlihat seekor ular menyusur masuk dan ingin mematuk lelaki tersebut. Aku tersentak lagi. Aku bertindak dengan pantas untuk membunuh ular tersebut. Tiba-tiba aku ternampak kala jengking tadi, muncul dan cuba menghalang ular tersebut lalu membunuh ular tersebut. Ular itu mati. Si kala jengking itupun kemudiannya berlalu pergi.

Aku merasa amat takjub.. ‘’Apa sudah jadi.!’’ Hatiku mula berzikir, lidah mengucapkan tasbih lalu diiringi tahmid,
bersyukur ke hadrat Ilahi. Takjub melihat peristiwa yang hebat itu. Syukur kepada Allah kerana Allah telah menghalangku
dari membunuh kala jengking tersebut. Tidak tahulah apa yang akan terjadi jikalau kala jengking itu dibunuh. Mungkinkah
lelaki mabuk itu turut terbunuh. Allah Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana, Maha Suci Allah daripada kesempurnaan.

Aku menghampiri lelaki mabuk itu, mengejutkannya. Agak sukar juga namun selang berapa ketika dia mula meracau lantas tersedar. ‘’Ular.....aku....ular.....’’
lantas dia cuba untuk melarikan diri. Namun,aku cepat memegangnya dan menenangkannya dengan memberitahunya bahawa ular itu sudah mati.
Lantas dia mengucapkan Terima Kasih kerana menyelamatkannya. Aku tersenyum. Aku mengajaknya duduk berhamppiran.
Dengan kalimah Allah aku mula bercerita. Dari mula sehingga akhir. Dari Sungai Nil hingga ke pondok kecil.
Dari kala jengking ke katak hingga ular yang ingin mematuknya.

Wajahnya berkerut seribu, Mungkin kagum.. Mungkin hairan.. Embun keinsafan mula membasahi pinggiran kalbu. Sirna Hidayah menampakkan diri, melunjur laju dari Maha Pengasih. Hati mulai tenang, mata tertunduk, menampung empangan yang sekian lama tertampung dek maksiat dan noda. Dia mengangkat kepala, melihat langit terbentang luas, empangan air mata keinsafan mulai melimpah. Semakin deras. Semakin sayu. Dia merintih sendu;

“Ya Allah, betapa besarnya kasih sayang-Mu, walaupun aku sering menderhakai-Mu, Ya Allah, Engkau tetap menyelamatkan aku dari bahaya yang boleh membunuhku, padahal aku sedang mabuk dan sedang melanggar perintah-Mu...!!’’

‘’Ya Allah, betapa besar pula rahmat-Mu kepada orang-orang yang mentaati-Mu, orang yang selalu menjaga segala perintah-Mu.. Aku memang manusia yang tidak tahu mengenang budi...!!’’

‘’Ya Tuhan Yang Maha Agung.. Maha Mulia.. Aku berjanji kepada-Mu, kini aku akan menjaga diriku dan tidak
akan menderhakai-Mu lagi...!’’

Lelaki itu kemudian berpaling, dalam keadaaan sendu seraya bertanya, ‘’Siapakah kamu?’’
Lalu dia melangkah pergi. Semakin jauh menghilang di sebalik rimbunan semak. Alhamdullilah... Ternyata dia sudah bertaubat.
Takkan derhaka lagi. InsyaAllah. Takkan berbuat jahat lagi.. Dia telah mendapat Nur Taufik daripada Allah SWT. Moga-Moga dia
ditempatkan di kalangan orang-orang yang Soleh. Amin~

Sumber:- Majalah اﻟﻄﺎرق ( Ustaz Mohd Nazri bin Zainuddin )

Firman Allah swt: “ Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang berlebih-lebihan terhadap dirinya
(dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah swt. Sesungguhnya
Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada tuhanmu, dan patuhlah kamu kepadaNya sebelum tiba siksaan
kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan” (Az-Zumar: 53,54).

Janganlah kita memperlambatkan taubat kerana ajal kita tidak melihat kepada usia dan tempat. Firman Allah swt: “Bagi tiap-tiap umat
itu ada ajalnya, apabila datang ajal mereka itu, mereka tidak akan dapat melambatkannya dan tidak pula
dapat mempercepatkannya walau sesaat jua pun” (Al-A’raf: 34).
“Dan mohon ampunlah (beristighfar) kamu kepada tuhanmu kemudian bertaubatlah kamu kepadaNya, Nescaya
Dia akan memberi kamu kesenangan yang baik sehingga sampai ajalmu” (Hud: 3).

Manusia sememangnya tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa. Namun begitu, jangan sesekali berputus asa daripada rahmat Allah dan segeralah bertaubat. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Diharapkan cerita ini dapat menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua.. Semoga taubat kita diterima Allah SWT dan semoga kehidupan kita senantiasa di dalam keredhaanNya. Amin Ya Rabbal Alamin~

(sumber :-ilhamnurani.com)

No comments:

Post a Comment

My Falling Butterflies. Same Like I'm Falling In Love With You.

Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...